English French German Spain Italian Dutch Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Berita AMAL

Anda Di Sini: Utama - Murabbi , Terkini - Matlamat hidup seorang Muslim


Seorang Muslim yang benar-benar beriman kepada Allah swt hendaklah mempunyai matlamat hidup yang berbeza dengan bukan Islam. Islam mengajar umatnya mencari kebahagiaan dunia dan akhirat. Seorang muslim akan memegang teguh pada prinsip hidup Islam di mana sahaja dia berada. Dia tidak akan mudah terpengaruh dengan alam sekeliling. Ini kerana jiwa yang disuburkan oleh iman tidak akan terjerumus ke dalam kerosakan yang berlaku di sekelilingnya.

Muslim sejati tidak akan mudah menerima cara hidup yang berlainan dari yang ada dalam Islam, walau dia tercampak di tengah kehidupan jahiliah atau masyarakat bukan Islam yang tidak kenal Tuhan. Dia cukup sedar matlamat Allah menjadikan dirinya sebagai manusia di muka bumi ini bukan untuk bermain-main dan berseronok-seronok. Amat berbeza dengan kejadian seekor binatang yang hanya berkehendak kepada makan, minum, beranak-pinak dan mati. Setelah mati, binatang tidak akan berhadapan dengan soal Mungkar dan Mungkar. Tiada Hari Pembalasan di Padang Mahsyar.

Firman Allah swt dalam surah Az-Zariyat ayat 56 bermaksud;

“Tidak Aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk beribadah kepada-Ku”..

Ayat di atas telah mengajar kita matlamat kejadian manusia yang amat jelas iaitu tunduk dan patuh melaksanakan ibadah kepada Allah swt. Ini juga merupakan peranan, tugas dan tanggungjawab muslim sebagai hamba Allah swt. Islam amat mementingkan pembangunan rohani demi membangunkan tamaddun manusia. Untuk melaksanakan peranan itu muslim hendaklah melengkapkan diri mereka dengan ilmu yang teras dalam ajaran Islam di samping ilmu pembangunan duniawi.

Malangnya pada ketika ini, kita dapati anak-anak orang Islam hanya ditekankan mempelajari ilmu-ilmu duniawi seperti ilmu kimia, fizik, matematik dan astronomi tanpa dibekalkan kefahaman yang jelas berkenaan ilmu tauhid dan akidah Islam. Mereka diajar mengkaji anatomi seekor kuman yang amat halus tanpa dibekalkan dengan pegangan akidah bahawa segala keagungan dan kehebatan penciptaan tersebut adalah kembali kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Mereka diajar berkenaan bentuk rupa bumi, lapisan kerak bumi serta fenomena alam seperti kejadian gempa, tsunami dan sebagainya tanpa dibekalkan dengan panduan Islam berkaitan tanda-tanda kiamat, kesan amalan maksiat yang berleluasa di atas muka bumi serta balasan atas kelalaian manusia dalam menjaga amanah Allah sebagai khalifah di bumi.

Akibatnya mereka tidak cinta pada Allah tetapi mengagungkan sains, tidak sayang pada Islam tetapi menurut dan meniru segala yang datang dari Barat. Lebih dahsyat lagi apabila terdapat sebahagian mereka yang pakar dalam bidang agama sanggup menyelewengkan hukum hakam Allah demi mendapat habuan dunia. Manakala kerja-kerja dakwah untuk mengenalkan masyarakat dengan kehidupan Islam yang sebenar dilaksanakan dengan begitu terhad sekali kerana bergantung kepada elaun, “mileage”, “lodging” dan sebahagiannya pula cukup sekadar tertumpu di kelas-kelas pengajian rasmi sahaja.

Muslim yang sentiasa ingat bahawa dia adalah hamba Allah akan sentiasa rasa malu, hina diri, lemah, sentiasa meminta dan berharap kepada Allah swt. Dia juga seorang yang sentiasa redha dengan setiap takdir yang menimpanya kerana dia sedar semuanya adalah datang dari Allah swt. Keyakinan inilah menjadikan dia sabar dengan setiap ujian yang menimpa, malah sentiasa berusaha untuk menambahkan taat kepada perintah Allah, cintanya kepada Allah makin bertambah dan dia tidak pernah merasa kecewa jika ramai manusia tidak menyukainya tetap teguh melaksanakan syariat Allah kerana dia yakin bahawa Allah akan sentiasa bersamanya. Wallahu a’lam.


Ustaz Abdul Halim bin Abdul Kadir
Mudir,
Pusat Dakwah Serantau
Yayasan Amal Malaysia
Tags: Murabbi , Terkini

0 ulasan

Respon Pelawat


© 2011 Pusat Dakwah Serantau | Designed By: Wiraislam.Com